Thursday, November 27, 2008

Ke mana lagi ye?

"Akak beli ni untuk sedekah kepada rumah anak yatim ke?" Tanya salesman itu kepada aku.

"Oh tak la.. Untuk guna anak sendiri" jawab aku.

"Tuuu diaa".. katanya bersahaja dalam loghat utara. "Bertuah sungguh budak-budak zaman sekarang ni ya. Masa saya sekolah dulu, hanya 2 pasang baju sekolah yang mak ayah saya sediakan. Kasut pun setahun sepasang sahaja. Anak-anak sekarang ni kurang-kurang kasut sahaja tiga pasang..."

"Zaman dah berubah." Pintas suamiku. "Budak-budak sekarang lebih lasak. balik sekolah baju dah kotor. Kasut sekolah jangan cakaplah" sambungnya lagi.

Aku hanya tersenyum.

Sesi dialog ini berlaku sewaktu membeli kain untuk menjahit baju kurung sekolah anak aku, Hannah. Aku setuju dengan salesman itu. Sepuluh pasang baju kurung kedengarannya mungkin terlalu banyak bagi seorang kanak-kanak Tahun 3 Sekolah Rendah. Tapi aku sebenarnya tak sampai hati melihat hannah balik dengan keadaan berlemuih dan mengulang tayang baju yang sama untuk sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Justeru aku mencadangkan kepada suami agar baju sekolah Hannah dijahit sebanyak sepuluh pasang. 5 pasang untuk sekolah kebangsaan dan 5 pasang untuk sekolah agama. Begitu juga kain sekolah masing-masing 5 helai untuk sekolah agama dan sekolah kebangsaan. Itu belum masuk perkakasan lain seperti kasut sekolah, stoking, seluar dan baju sukan serta alatulis. Alhamdulillah sekarang ini pihak kerajaan telah memberikan buku teks secara percuma (pinjaman) kepada semua murid-murid kalau tidak jenuh juga.

Tak sabar rasanya aku nak membawa anak-anak aku membeli belah untuk sesi persekolahan yang akan tiba. Kalendar sudah ditandakan bulat yang besar pada tarikh 6 Disember untuk tujuan ini. Keseronokan sudah terbayang di fikiran mereka untuk mendapat semua peralatan baru.. beg baru, buku baru, pensil warna baru.. segala-galanya berwajah baru. Siapkan ajelah duitnya.


Tapi bagi aku.. itu semua adalah pengorbanan ibubapa kepada anak-anak. Setiap yang bergelar ibu dan bapa tidak akan terlepas dari pengalaman manis ini. Namun begitu, kita juga harus ingat bahawa anak-anak juga banyak berkorban untuk kita. Hujung minggu yang sepatutnya diisi dengan kegembiraan bagi mereka.. iyerlah.. sekolah pagi petang makanya weekend sahajalah masa untuk menonton rancangan kegemaran mereka.. tapi kita paksa mereka pergi kelas tusyen, kelas computer, kelas ballet, kelas karate.. kenduri kendara yang kitaa hadiri pun mereka kena hadir juga. Walaupun muka mereka kelat macam buah pinang, namun kena ikut juga atas sebab paksa rela.. kerana sayangnya mereka kepada kita… terpaksa mereka ikut uga. Pernah kami ditegur ibubapa.. kalau setakat balik kampong engkorang ni sahaja tak bawak budak-budak tak payahla balik. Kami ni nak tengok cucu bukannya nak menengok kamu.
Tambahan pula sekarang ini musim cuti sekolah. Kebetulan aku pun cuti semester sehingga hujung tahun ini. Jadi bermula Disember ini macam-macam la jadual telah aku atur untuk anak-anak. Jadi takdek la mereka asyik duduk rumah sahaja. Kelas komputer, kelas mengaji dan kelas kelas bahasa cina telah ada dalam senarai aku.


Mungkin juga aku atur jadual tu bukan untuk anak-anak aje.. Aku pun bosan juga.. Maklumlah dah biasa bekerja.. Bila cuti panjang macam ni kepala mulalah pening. Minggu lepas kami telah menonton Madagascar 2. Semalam Luv and Berry... ummm... mana lagi yer? Genting kot..

Friday, November 14, 2008

Kini Kembali

Terlalu ramai yang menanyakan persoalan bilakah agaknya aku akan kembali beraksi di bidang penulisan blog ini. Aku pun tidak pasti mengapa persoalan ini timbul. Cuma berdasarkan analisis aku ada beberapa perkara utama yang cuba diutarakan oleh mereka:
  1. Mengapa aku senyap dan sunyi dengan tiada khabar berita? Apakah aku sudah kekeringan idea untuk menulis? Atau aku tiada lagi melalui pengalaman menarik yang boleh aku kongsi bersama mereka.
  2. Blog aku sekadar mengisi masa lapang atau waktu senggang di pejabat? Kadang-kadang sewaktu di pejabat, walaupun kita buat-buat sibuk agak sibuk dengan tugasan dan deadline yang tidak mengenal erti jemu, tangan tu secara spontan akan cuba melihat isu terkini yang dihidangkan oleh rakan bloggers kita.

Sebenarnya arena blog ini bukanlah sesuatu yang baru bagi aku. Aku mula diperkenalkan kepada blog hampir 3 tahun lalu ketika aku sedang mengikuti kursus di luar negara. Dengan keadaan masa yang terhad dan kemalasan aku untuk menghantar berita kepada rakan dan taulan, aku mula menulis. Segala aktiviti harian aku dan menu makanan harian yang tak berapa nak menyelerakan sering menjadi tajuk yang aku akan utarakan di blog aku.

Sekembali aku ke Malaysia, aku masih meneruskan aktiviti ini dan menulis mengenai apa sahaja yang berkaitan dengan minat aku dan apa jua perkara yang aku rasakan sesuai untuk aku kongsi bersama rakan dan taulan.

Persoalan mula timbul apabila aku mula merasa muak dengan apa yang aku tulis.

Tapi yang pasti.. walaupun aku tak berapa pandai nak mengayat (macam sesetengah bloggers yang blognya penuh dengan sajak dan syair serta penggunaan gaya bahasa yang tinggi) aku akan cuba untuk mengajaak kalian untuk melihat apa yang aku lihat dan berkongsi pengalaman dengan aku di ruangan digital ini.

Mengapa harus aku menulis di blog? Aku masih cuba mencari jawapan bagi persoalan ini.